Sunday, July 13, 2008

KADAR KELAHIRAN MENURUN

BERITA MINGGU, AHAD 13 JULAI 2008.

Populasi golongan muda dijangka berkurang impak daripada budaya kahwin lewat

KUALA LUMPUR: Sejak sedekad lalu, kadar kelahiran di Malaysia semakin menurun dengan 21.6 peratus pada 2001 kepada 18.7 pada 2006 berikutan kebanyakan warga Malaysia memilih berkahwin lewat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen, berkata senario ini bagaimanapun sudah dijangka dan mungkin tidak akan berubah kerana masyarakat Malaysia menuju ke arah masyarakat industri.

"Daripada kajian populasi penduduk yang dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), kebanyakan wanita hanya akan berkahwin pada usia 25 tahun, manakala lelaki 28 tahun," katanya.

Keadaan itu katanya meninggalkan impak kepada struktur usia penduduk Malaysia terutama golongan muda. Peratusan golongan muda menurun daripada 19 peratus pada 2000 kepada 18.5 peratus pada 2007. Keadaan itu akan berlanjutan dengan anggaran penurunan 16.9 peratus menjelang 2020.

Sehingga 2025, dijangka satu pertiga populasi Malaysia adalah kanak-kanak berusia 14 tahun ke bawah.

Penurunan peratusan golongan muda katanya, menyaksikan peningkatan golongan tua dalam tempoh 20 tahun akan datang. Malah, menjelang 2020, seramai tiga juta penduduk adalah golongan berusia 60 tahun ke atas.

Kahwin lewat juga kata Dr Ng, menyebabkan kebanyakan keluarga hanya mengehadkan kelahiran pada dua anak. Keadaan ini mewujudkan struktur keluarga 2-2-4, iaitu sepasang suami isteri dengan dua anak, menjaga dua pasangan orang tua.

Disebabkan Malaysia menuju ke arah masyarakat industri, peratusan umur mereka yang bekerja juga meliputi 15 tahun hingga 59 tahun. Selain wanita, kelompok ini juga mewakili kanak-kanak dan warga emas.

"Wanita bekerja terpaksa mencipta keseimbangan antara tuntutan kerja dan keluarga. Justeru persekitaran tempat kerja seharusnya kondusif dan memberi peluang ibu bapa bertanggungjawab dan menyeimbangkan antara kerja dan anak," katanya.

No comments:

your future is in your hand

your future is in your hand