Melestari alam bebas beg plastik
Oleh IRFAN MOHAMAD
SABAN tahun, kita tidak pernah ketinggalan daripada menjadi sebahagian mereka yang menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia.
Pada tahun ini, acara tersebut telah diadakan di Zoo Negara pada 22 Jun 2008 dan ia dijayakan dengan pelbagai aktiviti yang begitu menarik dan mendidik terutamanya bagi mereka yang menyertainya.
Tema perayaan pada tahun ini ialah 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama'.
Tanpa tema dan perayaan tahunan tersebut pun sewajarnya kita sebagai penduduk bumi yang bakal mewariskan alam ini kepada generasi yang akan datang perlu memikirkan perkara ini secara lebih serius.
Langkah seumpama itu penting untuk menjadikan setiap sambutan bukan sekadar retorik dan menjadi peristiwa rutin tahunan semata-mata.
Salah satu perkara yang telah lama menjadi isu di kalangan masyarakat ialah penggunaan beg plastik yang kian meningkat.
Perkembangan itu adalah selari dengan kepesatan pembangunan yang menjurus ke arah kehidupan moden banyak bergantung kepada bahan berunsurkan plastik.
Sememangnya untuk keluar dari dunia plastik sepenuhnya adalah suatu yang boleh dikatakan mustahil, terutama bagi kita yang sudah terbiasa dan terdidik dengan budaya plastik.
Namun usaha untuk mengurangkan penggunaan plastik serta meningkatkan kadar pelupusannya amat penting untuk difikirkan bersama.
Semua orang tahu akan kesan dan akibat penggunaan beg plastik secara berleluasa. Walaupun memperolehnya secara percuma, menggunakannya secara sementara dan membuangnya amatlah mudah dengan pelbagai cara, namun tangisan bumi yang sengsara dan alam yang menderita amat jauh untuk didengari dan dihayati oleh pancaindera kita yang lima.
Kenaikan harga minyak yang melewati batas AS$140 setong seharusnya mengetuk minda kita kepada kemungkinan suatu hari nanti beg-beg plastik akan dijual jika kita ingin menggunakannya. Alternatif lain yang lebih mesra alam patut dicipta dan direka agar alam pun menjadi mesra dengan kita.
Berita penciptaan plastik mudah terurai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Universiti Sains Malaysia, Profesor Hanafi Ibrahim pastinya suatu yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan makhluk di muka bumi ini baik manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta sumber-sumber alam yang tidak bernyawa sekali pun.
Selain dihasilkan dengan menggunakan kos yang rendah, produk itu juga boleh dikitar semula.
KesanPenguraiannya yang jauh lebih pantas berbanding plastik konvensional berasaskan petroleum yang memakan masa 100 tahun jelas mampu mengurangkan kesan negatif akibat retensi plastik terhadap alam sekitar.
Sama-samalah kita mendoakan agar penciptaan yang pertama seumpamanya ini dapat segera diterjemahkan ke dalam penggunaan dalam kehidupan seharian dan kesannya akan dapat dinikmati oleh masyarakat Malaysia dan dunia amnya.
Selepas melancarkan Kempen Keranda Putih (white coffin) yang merujuk kepada penghapusan penggunaan bekas makanan polimer di dalam kampus, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang juga telah mengambil inisiatif untuk mengurangkan penggunaan beg-beg plastik di kafeteria pelajar, berkuatkuasa Ogos ini.
Kempen seumpama ini wajar menjadi contoh kepada agensi-agensi kerajaan mahu pun agensi swasta yang lain bagi sama- sama membuktikan bahawa 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama' bukan hanya suatu tema.
Ia seharusnya menjadi suatu misi sejagat yang memerlukan penglibatan semua.
Beberapa cadangan yang begitu efektif untuk dilaksanakan telah diutarakan.
Ini termasuklah makan di tempat makanan disediakan atau dijual dan makan sehingga habis bagi pengurangan aktiviti pembungkusan dengan plastik, mengurangkan pengedaran straw dan beg plastik serta menggantikannya dengan beg-beg yang mudah untuk terbiodegrasi, membawa bekas sendiri jika ingin membungkus pulang makanan dan menggalakkan kitar semula barangan berasaskan plastik.
Kerjasama secara kolektif amatlah penting dalam menjayakan misi menyelamatkan alam daripada terus musnah akibat perbuatan tangan-tangan manusia ini.
No comments:
Post a Comment