Thursday, May 15, 2008

ribut greg


Tragis Ribut Tropika Greg
Oleh Nasron Sira Rahim

RIBUT Greg menyebabkan kemusnahan beberapa kampung di Keningau.
PADA mulanya ia hanya desiran angin yang sesekali mengutuskan rasa nyaman di kalangan penduduk beberapa daerah terutama di Keningau, Sabah. Kemudian, desiran angin mula disertai hujan yang lebat mencurah. Dentuman guruh dan paluan kilat mengiringi bertalu-talu. Seterusnya dalam kegelapan malam, ketika jam menunjukkan sekitar 4 pagi pada 26 Disember 1996, angin itu mula berdesir semakin laju sehingga mencecah 80 kilometer sejam. Rumah dan kediaman di beberapa daerah sekitar Sabah terutama di Keningau mula runtuh dilanda kelajuan angin berkenaan; pelbagai objek mula berterbangan, air sungai mula melimpah dan banjir kilat besar berlaku.
Angin sudah menjadi sesuatu yang menakutkan pada malam itu, ia sudah menjadi ribut ganas. Kebanyakan penduduk yang sedang tidur ketika itu terjaga dalam ketakutan. Suasana terus menjadi kelam-kabut dan riuh-rendah suara jeritan penduduk yang cemas tenggelam dalam ribut yang semakin menggila. Seolah-olah alam sedang mengamuk malam itu, tidak pernah petaka sedahsyat itu berlaku di kawasan terbabit sebelum ini. Segera penduduk meluru keluar dari rumah dalam himpitan perasaan penuh cemas dan takut. Meredah ribut dengan paluan angin dan tikaman air hujan tanpa henti, mereka berlari untuk mendapatkan perlindungan.
RUMAH penduduk musnah sama sekali.
Pada malam itu, satu tragedi yang paling dahsyat direkodkan berlaku di negara ini, tidak pernah tragedi seteruk itu sebelum malam berkenaan. Ribut Tropika Greg melanda Sabah dengan kawasan paling teruk terjejas adalah Keningau manakala Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Tuaran, Beaufort hanya mengalami kerosakan kecil. Bencana alam itu dipercayai mengorbankan mangsa paling ramai dalam sejarah tragedi bencana alam di Malaysia; lebih 200 mangsa terkorban dan 102 lagi hilang dalam ribut yang berlaku selama kira-kira lima jam, bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 6.30 pagi. Di Keningau, kemusnahan dua kampung berhampiran Sungai Pampang iaitu Kampung Pampang dan Limbawan ibarat ‘padang jarak padang tekukur’ manakala sebuah kampung dikenali Batu Satu atau Kandang Ayam yang didiami kebanyakan warga Indonesia keturunan Tator, musnah sama sekali.
Sungai Pampang, Bayayo, Liawan dan Sinagang melimpah dan hujan berterusan menyebabkan sembilan kampung ditenggelami banjir kilat sekali gus merosak dan menghanyutkan sejumlah 500 rumah penduduk di tebing sungai. Kira-kira 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Perhubungan ke Keningau yang terletak kira-kira 131 kilometer dari Kota Kinabalu, terputus berikutan dua jambatan utama di Sungai Liawan dan Pegalan dihanyutkan banjir besar. Sebahagian bukit berhampiran Gunung Emas di Tambunan pula runtuh dan menutupi jalan raya sekali gus memutuskan perhubungan dari ibu negeri ke Tambunan dan Keningau. Paling menyayat hati apabila mengenangkan ramainya mangsa yang terkorban. Kebanyakan mangsa maut kerana dipercayai sedang tidur ketika rumah mereka dihanyutkan arus deras dari kawasan bukit di lereng Banjaran Croker antara jam 3 pagi dan 4 pagi. Dalam lena yang tidak menyedari apa-apa itu, rumah mereka hanyut dibawa arus bersama penghuni di dalamnya yang tidak sempat menyelamatkan diri. Sebaik ribut berakhir sebaik siang menjelma, operasi menyelamat dan mencari mangsa segera dijalankan. Ketika itulah, pemandangan ngeri jelas kelihatan dengan mayat bergelimpangan dalam keadaan mengerikan termasuk ada yang bogel dan tersangkut di tunggul kayu selain mayat kepala bayi terpacul daripada kemaluan ibu yang turut terbunuh. Beberapa mayat turut ditemui dalam rangka rumah yang dihanyutkan banjir kilat. Hari pertama gerakan menyelamat dijalankan, 107 orang disahkan terbunuh dan kira-kira 150 lagi hilang. Mayat semua yang terbunuh ditemui pasukan pencari dan penyelamat di sepanjang tebing lima sungai utama itu. Polis, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sabah Air Sdn Bhd (Sabah Air), bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), beberapa jabatan dan agensi kerajaan selain penduduk setempat terus menjalankan operasi mencari mangsa. Bagaimanapun, kerja mengeluarkan mayat mangsa tragedi di beberapa sungai agak sukar kerana mereka tertimbus di dasar serta ditindih pokok dan kayu serta lumpur tebal selain kurang peralatan dan kelengkapan bomba untuk dibawa ke lokasi kejadian berikutan terputusnya hubungan jalan darat antara Keningau dan daerah lain. Pada hari ketiga gerakan mencari dijalankan, 15 lagi mayat mangsa tragedi ribut itu dijumpai. Seterusnya dari hari ke hari, mayat dijumpai berterusan dan statistik angka korban bertambah dari semasa ke semasa. Menjelang ketibaan tahun baru 1997, mayat terus ditemui dan selepas dimakan hari, jasad yang ditemui semakin mengerikan dan dalam keadaan reput serta busuk. Pada 12 Januari 1997 iaitu selepas lebih dua minggu operasi diteruskan, akhirnya gerakan mencari mangsa dihentikan. Lebih 200 penduduk terkorban dalam tragedi itu dan 102 lagi masih diklasifikasikan sebagai hilang sehingga kini. Cerita tragis tragedi Ribut Tropika Greg tidak pernah tamat walaupun tidak ramai lagi yang berbual mengenainya. Sepuluh tahun berlalu, kejadian itu terus kekal di dalam ingatan ribuan mangsa yang terselamat. > Pemanasan global dipercayai jadi punca SEPERTI juga pelbagai bencana alam yang berlaku di negara ini termasuk banjir besar di Johor, baru-baru ini, tragedi Ribut Tropika Greg yang mengorbankan lebih 200 mangsa di Sabah, sedekad lalu dipercayai berpunca daripada kepanasan global. Aktiviti penebangan hutan dan pelepasan gas rumah hijau di seluruh dunia menyebabkan kitaran alam tidak lagi mengikut 'landasannya' sekali gus menyebabkan pelbagai bencana alam tidak lagi dapat dijangka dan menjadi semakin tidak menentu. Itulah yang berlaku kepada Ribut Tropika Greg yang kesan rempuhannya terhadap Sabah, tidak pernah dijangka sebegitu dahsyat sehingga mampu menjadikan sesuatu kawasan itu umpama padang jarak padang terkukur. Malah, tragedi ribut itu juga sebenarnya berlaku di luar jangkaan kerana ia sepatutnya bergerak ke hemisfera utara bukan melencong ke arah pantai barat Sabah seperti yang berlaku. Penjelasan saintifik menyatakan Ribut Tropika Greg berlaku akibat tekanan udara rendah yang berlaku di tengah Laut China Selatan antara Sabah dan Vietnam. Kenyataan Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca ketika itu menyebut Ribut Tropika Greg berlaku apabila angin tropika yang bertiup selaju 50 hingga 70 kilometer sejam (km/j) dari arah Laut China Selatan menghala ke pantai barat Sabah dan utara Sarawak. Kelajuan angin itu menyebabkan laut bergelora dengan ombak setinggi tiga hingga lima meter. Bagaimanapun angin kencang itu reda sejak pagi hari kejadian dan hampir semua kawasan di pantai barat Sabah dilaporkan mendung dan tidak hujan sehingga petang. Sebelum kejadian ribut itu, kawasan bencana dikatakan mengalami hujan lebat sejak awal pagi 24 Disember 1996 dan berterusan sehingga ribut itu berakhir pada pagi dua hari kemudian. Taburan hujan pada 24 dan 25 Disember (ketika ribut Greg) ialah 60 dan 72 milimeter, jumlah yang tertinggi bagi bulan berkenaan. Kelajuan Ribut Tropika Greg mulai berkurangan pada jam 7.40 pagi 26 Disember iaitu dengan kelajuan 64.8 km/j. Bagaimanapun, ia menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan meragut banyak nyawa sepanjang laluannya. Saintis menjelaskan ribut tropika biasanya bermula sebagai sel tekanan rendah yang berpisah daripada lingkaran tekanan rendah Khatulistiwa dan bertambah kuat selepas mengumpul haba daripada permukaan laut yang panas. Berikutan keupayaannya menyimpan haba tinggi dan haba terpendam daripada peluwapan air laut, ribut tropika memindahkan sejumlah besar tenaga haba ke latitud tinggi yang menyebabkan berlaku kerosakan besar berikutan kekuatan angin dan hujan lebat. Kerosakan besar hasil ribut dahsyat itu menyebabkan Kerajaan Sabah kerugian lebih RM130 juta. Sebanyak 4,924 rumah penduduk runtuh dan rosak kerana dihanyutkan banjir manakala 39 sekolah turut rosak membabitkan kerugian RM1.5 juta. Kerajaan negeri juga terpaksa membelanjakan RM12 juta membersihkan sungai di Keningau. Demikianlah antara penjelasan dari sudut sains mengenai bencana alam itu, tetapi selain penjelasan sains, kita tahu bahawa segala sesuatu kejadian itu berlaku atas kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Dengan hanya mengata ‘kun fayakun (jadi maka jadilah)’ maka Allah SWT mampu berbuat apa saja. Negara seolah-olahnya enggan melupakan begitu saja tragedi yang dianggap paling dahsyat dalam sejarah negara itu. Ada banyak peringatan yang dapat diambil daripada peristiwa tragis yang berlaku pada 26 Disember 1996 itu. Justeru, pada tarikh sama tapi pada 2005, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan tarikh 26 Disember setiap tahun akan dijadikan Hari Kesedaran Bencana Negara. Selain tragedi Ribut Tropika Greg, tarikh sama turut menyaksikan tragedi tsunami yang melanda negara terutama kawasan utara tanah air pada 2004.

Jangan ambil mudah kemiskinan bandar

Berita Harian, 15 Mei 2008


Bersama Johan Jaafar zulujj@tm.net.my

Punca masalah dan krisis masa depan perlu ditangani dengan lebih berkesanMEREKA yang paling teruk menanggung akibat kenaikan harga barang pada masa ini ialah golongan miskin di bandar. Urban poor ini menerima nasib yang lebih buruk daripada mereka yang dilabelkan miskin di kampung. Malangnya golongan ini sering dilupakan apabila kita bercakap mengenai golongan miskin di negara ini. Saya pernah menyentuh isu ini sebelum ini (Berita Minggu 30 Oktober 2005). Hari ini isu kemiskinan bandar menjadi lebih serius. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, akan menjadi resipi bagi pelbagai krisis sosial dan politik. Kemiskinan bandar menjadi penyebab kepada pelbagai masalah – daripada pengangguran hingga gangsterisme. Lebih buruk lagi ialah gagalnya golongan ini memberikan perhatian serius pada aspek pendidikan anak-anak yang diharapkan dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup kemudiannya, serta memungkinkan mobiliti sosial.
Barisan Nasional (BN) dikejutkan dalam pilihan raya baru lalu akibat penolakan pengundi Melayu bandar terhadapnya. Sebahagiannya berpunca daripada persepsi bahawa orang Melayu bandar diketepikan, kepentingan mereka dilupakan dan kehidupan mereka tidak mendapat pembelaan. Sebahagian besar daripada mereka melihat keadaan 'antara dua darjat' – yang kaya, mampu dan berada berbanding dengan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita harus ingat bahawa kuasa politik Melayu di bandar semakin penting masa kini berbanding dulu. Angka 2000 memperlihatkan 48.3 penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah Melayu. Bilangan itu bertambah lagi akhir-akhir ini menjadikan bilangan penduduk Melayu di bandar lebih besar daripada bukan Melayu. Kita boleh menyalahkan penghijrahan mereka dari kampung tradisi ke bandar sebagai punca fenomena ini. Pada 1970-an, 68.3 peratus penghijrah ke bandar adalah orang Melayu. Kota memang sentiasa menjadi tarikan. Malah generasi pendatang pertama dari desa sebenarnya melahirkan anak-anak yang berjaya dan mampu membawa mereka keluar daripada ancaman kemiskinan. Ini proses sosial yang lumrah.
Pendatang baru akan tetap ditawan oleh tarikan kota. Sejak dua dekad kebelakangan ini hadir pula pendatang dari luar (sama ada secara izin atau tidak) yang menambah bilangan mereka yang menghuni kawasan bandar. Sasaran mereka tentulah kawasan setinggan di sekitar Lembah Klang. Kita harus sedar bahawa proses perbandaran menjadi ciri penting kemajuan mana-mana negara. Semakin ramai rakyat negara ini akan tinggal di bandar. Pada 1970 hanya 13.8 peratus penduduk bandar di negara ini. Jumlah itu menjadi 50.7 peratus pada 1991. Hari ini lebih 70 peratus rakyat Malaysia tinggal di bandar. Pada 30 Julai 2003, dua tokoh muncul dalam program Isu Semasa yang saya kendalikan di RTM1, Menteri Besar Selangor dan seorang lagi Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tajuk yang dibincangkan ialah sasaran Setinggan Sifar baik di KL mahupun di Selangor. Saya mengingatkan mereka apakah sasaran itu realistik memandangkan 1 Januari 2005 hanya 17 bulan lagi. Saya menyebutkan bahawa ada 150 penempatan setinggan yang masih wujud di Kuala Lumpur ketika itu. Kawasan setinggan juga masih banyak di Selangor. Mereka begitu yakin bahawa sasaran itu boleh dicapai. KL seperti kita tahu memang tempat di mana ratusan koloni pendatang bandar yang mencari tempat tinggal. Pada 1978, 23.5 peratus warga Kuala Lumpur adalah setinggan. Dari segi peratusan, jumlah ini menurun menjadi 17.6 peratus pada 1992 dan 9.7 peratus pada 1998. Sehingga Jun 2003, ada 82,000 orang penduduk setinggan di Kuala Lumpur. Soalan saya masa itu ialah apakah 82,000 orang setinggan akan hilang begitu saja menjelang 2005? Kita tahu sasaran itu tidak dicapai. Kawasan setinggan masih wujud. Masih banyak penduduk bandar yang tinggal dalam kawasan yang menurut definisi Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 (Ordinan 1 dan 2) Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan) 'menduduki tanah secara haram atau menyalahi undang-undang' di bandar-bandar kita.
Banyak rancangan dirancang untuk menangani masalah ini, dari penubuhan Unit Penyelarasan Pembangunan pada peringkat DBKL, menyediakan Dasar dan pelaksanaan Penempatan Setinggan di Wilayah Persekutuan hinggalah Skim Pertapakan, Kemudahan dan Peningkatan serta program Penempatan Sementara dan Penempatan Semula Setinggan. Sejak 1977 dirancangkan penempatan rumah panjang yang sepatutnya memberikan peluang sementara sebelum mereka mendapat rumah baru. Ada yang tinggal lebih 15 tahun di penempatan yang dikatakan sementara ini. Apa yang paling merunsingkan ialah budaya kemiskinan (culture of poverty) yang akan terus berleluasa di kalangan rakyat yang menghuni kawasan setinggan ini. Rantaian kesan buruknya tentulah dapat kita bayangkan. Malangnya banyak usaha untuk memenuhi keperluan rakyat dalam kategori ini selalu berdepan dengan masalah. Pertama, membina rumah kos murah tidak menguntungkan bagi pemaju perumahan. Kedua, siling yang tidak realistik untuk membina satu unit rumah kos murah. Pada suatu waktu dulu hanya RM25,000. Ketiga, banyak pihak mengkhianati usaha pembinaan rumah kos murah. Angka tidak menipu. Pada 1985, sasaran Program Khas Perumahan Kos Rendah ialah untuk membina 62,203 unit. Apa yang mampu dicapai hanya 1,090 unit. Sasaran 1986 ialah 77,029 unit, yang dicapai hanya 20,420 unit. Tambahan pula sehingga 2002, menurut perangkaan kerajaan, ada 544 projek rumah terbengkalai membabitkan 125,649 unit rumah, sebahagiannya rumah kos rendah. Setiap tahun Malaysia memerlukan 100,000 hingga 150,000 unit rumah baru untuk rakyatnya, apakah kita bersedia menampungnya? Apakah pula nisbah rumah rakyat berpendapatan rendah dalam konteks ini? Saya berpendapat bahawa ada soal tafsiran dan makna yang terbabit. Kita menggunakan konsep 'rumah kos rendah.' Ketika Kerajaan Singapura merancang program perumahan rakyat melalui Perbadanan Perumahan Singapura, sasarannya ialah 'rumah mampu beli' atau affordable homes yang berkualiti. Rumah jenis ini akan dinaiktaraf berdasarkan kemampuan rakyat. Rumah kos rendah dalam pengertian kita ialah sarang burung merpati yang kelihatan hodoh dari luar dan menyesakkan penghuninya. Unit-unit rumah kediaman ini rata-rata tidak selesa dan sistem sokongannya menyulitkan lagi kehidupan penduduk: Lif selalu rosak, kawasan sekitar kotor, tempat letak kereta terbatas, penyelenggaraan keseluruhannya masih lemah. Memang kemiskinan bandar tidak semestinya membabitkan kawasan setinggan. Tekanan hidup akibat kenaikan harga barang menjadi masalah utama penghuni bandar di manapun mereka berada. Banyak yang terpaksa bekerja lebih dari satu kerja untuk menampung kos hidup yang tinggi. Ibu bapa terpaksa bekerja meninggalkan anak-anak sendirian menjaga diri kerana tidak ramai yang mampu menggaji pengasuh. Lebih malang lagi tidak berlaku sistem sokongan seperti pusat jagaan kanak-kanak umum, tadika yang berkualiti atau sistem kawalan keselamatan penduduk yang terbaik. Itu belum lagi kegagalan mengadakan pusat riadah, perpustakaan mini atau pusat komputer yang boleh membantu kanak-kanak. Semua ini menambah tekanan pada ibu bapa. Isu kemiskinan bandar akan menjadi masalah besar sekiranya mereka dilihat hanya sebagai sumber undi apabila berlaku pilihan raya. Kemiskinan bandar melampaui kaum. Usaha menanganinya harus juga melangkaui kaum. Ketegangan kaum yang berlaku sebahagian besarnya kerana kurangnya integrasi kaum, ditambah dengan elemen lain yang meretakkan hubungan kaum. Sudah sampai masanya kita melihat secara tuntas isu ini dari kanta dan perspektif yang baru. Kemiskinan adalah kunci pada krisis yang lebih besar. Dalam keadaan hari ini, kerajaan harus bertindak bijak dan pantas. Sekiranya tidak bandar-bandar kita akan menjadi bukti perbezaan kelas, status, kedudukan dan dispariti pendapatan.

Tuesday, May 6, 2008

Selamat Hari Ibu

especially for my mother ..hasminah kasmun,, to all ladies teacher...that is like my mom's too..and all mother...
happy mothers day

Wednesday, March 26, 2008

KESEDARAN BAIKI TARAF HIDUP

Kesedaran baiki taraf hidup
Filed under: Uncategorized, myMetro
Susunan Ruhaiza Rusmin ruhaiza@hmetro.com.my
KEPESATAN pembangunan dunia bukan saja memberi tekanan dalam pembangunan ekonomi tapi juga agenda pendidikan terutama di negara miskin.
Meskipun pendidikan bukan agenda utama kebanyakan masyarakat negara berkenaan berbanding ekonomi, peningkatan terhadap kepentingan memperoleh tahap pendidikan terbaik sudah semakin menular.
Contohnya, Indonesia yang kini bangkit menerajui industri pendidikan pengajian tinggi meskipun ekonominya masih di tahap genting bagi sebahagian besar warganya.
Negara dunia ketiga seperti Afrika juga semakin bangkit meskipun masih bergolak dengan kegoyahan ekonomi atau peperangan.
Kemudahan prasarananya walaupun kurang lengkap, tidak menghalang masyarakat negara itu mengutip ilmu sekali gus memberi ‘amaran’ kepada negara luar bahawa masyarakatnya sudah tidak boleh diperkotak-katik atau dipandang rendah.
Pegawai Penasihat Kanan dalam kumpulan Oxfam, Oliver Buston, berkata kebangkitan masyarakat mengejar sistem pendidikan lebih baik disebabkan peranan golongan badan sukarelawan antarabangsa memberi pendedahan dan maklumat pentingnya ilmu.
Beliau berkata, pada awal 1980 dan 1990-an, kesedaran mempertingkatkan kehidupan menerusi pendidikan terlalu kurang berbanding ekonomi, namun coraknya semakin berubah menjelang abad ke-21.
Masyarakat dunia ketiga ini semakin memberi fokus kepada kepentingan pendidikan lantaran memperoleh pelbagai sokongan pihak luar untuk membuka minda mereka menerima kepentingan pendidikan.
Ini juga membuktikan elemen kemanusiaan dan kesedaran yang disuntik mampu merubah pendirian masyarakat yang kebanyakan terikat kepada adat dan budaya.
"Perubahan corak ini memberi satu semangat baru kepada kumpulan sukarelawan antarabangsa untuk mengubah persepsi masyarakat ini terhadap fungsi serta kepentingan pendidikan.
"Pencapaian ini meskipun masih rendah tetapi memberi harapan baru untuk generasi seterusnya. Mereka perlu tahu, hanya dengan pendidikan mampu mengubah kemiskinan dan tahap ekonomi," katanya.
Negara dunia ketiga juga semakin terbuka menerima dan membuat pembaharuan. Afrika misalnya sudah banyak membuka pintu kepada negara luar untuk melabur dalam sektor pendidikan.
Manakala pelajar yang cemerlang juga dihantar menyambung pengajian ke luar negara dan diharap mampu menjadi pentadbir dengan membawa pembaharuan untuk dikongsi bersama rakyat dan pembangunan negara.
"Saya bertuah kerana berpeluang menyambung pengajian di luar negara. Apabila tamat pengajian, saya akan pulang ke tanah air dan berbakti bagi pembangunan negara.
"Belajar di sini memberi manfaat besar. Saya dapat lihat bagaimana masyarakat antarabangsa membuat penilaian terhadap masyarakat di negara sendiri," kata Olaga yang kini menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, masih terdapat sedikit perbalahan antara golongan lama dan baru dalam pembangunan pendidikan.
Masyarakat ortodoks Mexico, misalnya berpendapat pendidikan merubah gaya dan cara hidup golongan muda berbanding tanggungjawab kepada keluarga.
Buston berkata, mereka berpendapat golongan muda lupa diri dan enggan menunaikan tanggungjawab kepada keluarga yang daif apabila berkedudukan baik.
"Mereka berpendapat, ilmu juga boleh diperoleh di rumah dan berbakti kepada alam.
"Sekolah hanya merubah pendirian, adat dan sosial golongan muda.
"Mungkin kerana tidak memperoleh informasi tepat menyebabkan mereka menolak arus pembangunan menerusi pendidikan," katanya.
Dalam satu kaji selidik badan bebas, Global Campaign for Education, Belanda menduduki tempat teratas negara progresif dan aktif meningkatkan martabat pendidikan di negara miskin manakala Amerika Syarikat di kedudukan ketiga terakhir daripada 22 negara kaya di dunia.
Kajian itu melihat bagaimana negara berkenaan menunaikan janji bagi membantu negara miskin.
Perjanjian berkenaan berlangsung di Dakar, Senegal pada 2000 di bawah program Pendidikan Untuk Semua (Education For All).
"Lebih 100 juta kanak- kanak seluruh dunia tidak pernah ke sekolah manakala 150 juta tidak menghabiskan asas pendidikan disebabkan kemiskinan.
"Negara kaya memperuntukkan kira-kira RM8 bilion untuk membantu membangunkan sistem pendidikan di negara miskin.
"Sokongan ini sedikit-sebanyak membantu golongan miskin memperoleh pendidikan sempurna.
"Ini membantu mengubah persepsi dan pandangan dangkal mengenai keperluan pendidikan bagi memperbaiki taraf kehidupan keluarga dan generasi akan datang," kata kajian itu.
(Artikel dipetik daripada myMetro, kolum Bestari - bertarikh 24 Mac 2008)

Friday, February 22, 2008

ISU PELAJAR CEKIK GURU...

Sebagai seorang guru, berita tentang seorang guru perempuan dicekik dan ditolak sehingga hampir jatuh dari tingkat 2 sangat mengecewakan. Malah saya terfikir ada juga murid yang sanggup melakukan perkara begitu kepada gurunya. saya sendiri tidak pernah terfikir jadi tidak terjangkau akal saya untuk terfikir ada anak murid yang sanggup melakukan perkara sebegitu terhadap guru mereka.

Lebih mengecewakan lagi apabila bapanya memberitahu tindakan anaknya ialah tikdakan spontan kerana dikasari oleh guru tersebut.. kekasaran yang dilakukan ialah mencengkam lengan anaknya. Malah bapanya menyalahkan dan mempersoalkan kenapa anaknya harus dibuang dan tindakan yang dianggap tidak adil terhadap anaknya yang akan menduduki SPM.

Saya tidak akan mengulas cerita ini dari aspek rasional tindakan guru tersebut...semua orang sudah faham apa yang berlaku.. tetapi saya tertarik dengan alasan yang diberikan oleh si bapa yang kelihatan berpendidikan agak tinggi... sehingga tahu mengenai tindakan spontan ataupun tindakan refleks daripada sudut sains.

Tindakan spontan bermaksud satu tindakan yang tidak menggunakan otak. Perlaksanaan tindakan spontan berdasarkan impulse/arahan setakat level saraf tunjang atau spinal level. Jadi orang yang berbuat sesuatu secara spontan adalah mereka yang tidak menggunakan otaknya. Contoh mudah, kalau kita terpijak bara api, apa tindakan spontan kita lakukan? Apa yang berlaku ialah kita cepat-cepat menarik balik kaki kita daripada terus terkena kepanasan tersebut. Tindakan spontan ini mengelakkan kita daripada terus tercedera. Kita tak perlu fikir untuk mengangkat kaki tersebut, ia terjadi secara spontan. Automatik...refleks..tanpa berfikir ....hanya spontan

Jadi, adakah reaksi pelajar yang mencekik dan menolak gurunya sehingga hampir jatuh itu satu tindakan spontan? Adakah jawapan ayah nya itu wajar mengaitkan tindakan anaknya sebagai spontan? Jika si ayah kata ya ...maka ini bermaknya anaknya tidak menggunakan otaknya ketika menolak guru tersebut? Saya buat analogi begini... haiwan pun ada otak tapi mereka tiada akal....saya andaikan di dalam kes ini, otak memang tidak digunakan manakala akal diletakkan di dalam tandas..

Saya buat analogi lagi.... adakah sekiranya guru saya mendenda saya kerana saya nakal,contohnya merotan..... saya secara spontan mengambil rotan tersebut dan memukul merotannya semula... Tindakan spontan?????? ataupun tindakan tanpa akal fikiran??? lu fikirlah sendiri..

Friday, February 1, 2008

Birthday Nasirruddin

Hari ini genap 8 tahun umur anak sulung..selamat hari lahir..semoga panjang umur dimurahkan rezeki dan pandai belajar...mama doakan supaya nasir berjaya di dalam hidupp..

u re my everything..and so do haziq and faez
love all of you forever

Wednesday, January 2, 2008

KEK COKLAT BASAH...SEDAPPPP



malam tadi aku buat kek coklat ni...anak makan sampai tak cukup...sedap la tu...kalau ada sapa sapa nak try ni resepinya....senang jek...tapi hasilnya...superbbbb

Bahan-Bahan:
BAHAN A: 250gm Mentega 2 cwn Gula Halus 7 biji Telur 2 cwn Tepung Kek
BAHAN B: 1 cwn Serbuk Koko (Van Haouten) ½ cwn Gula Halus 1 cwn Air Campurkan semua Bahan B ni, masak atas api sampai pekat dan likat.

Cara:
1.Pukul mentega dan gula sehingga kembang.
2.Kemudian, masuk telur satu persatu dan pukul hingga kembang.
3.Masukkan Bahan B yang telah siap tersedia ke dalam adunan diselang selikan bersama tepung kek. (Masukkan sesenduk sesenduk la..)
4.Gaul sebati dan bakar dalam ketuhar lebih kurang 45 minit hingga 1 jam.

Cadangan Hidangan:
Kalau nak sedap lagi curahkan coklat masak as a topping kat atas kek nanti..sedap..

Tips:
Bahan B tadi biar suam-suam sikit time nak masuk dalam adunan. Jangan di biar sejuk,nanti beku..

your future is in your hand

your future is in your hand