Bersama Johan Jaafar zulujj@tm.net.my
Punca masalah dan krisis masa depan perlu ditangani dengan lebih berkesanMEREKA yang paling teruk menanggung akibat kenaikan harga barang pada masa ini ialah golongan miskin di bandar. Urban poor ini menerima nasib yang lebih buruk daripada mereka yang dilabelkan miskin di kampung. Malangnya golongan ini sering dilupakan apabila kita bercakap mengenai golongan miskin di negara ini. Saya pernah menyentuh isu ini sebelum ini (Berita Minggu 30 Oktober 2005). Hari ini isu kemiskinan bandar menjadi lebih serius. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, akan menjadi resipi bagi pelbagai krisis sosial dan politik. Kemiskinan bandar menjadi penyebab kepada pelbagai masalah daripada pengangguran hingga gangsterisme. Lebih buruk lagi ialah gagalnya golongan ini memberikan perhatian serius pada aspek pendidikan anak-anak yang diharapkan dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup kemudiannya, serta memungkinkan mobiliti sosial.
Barisan Nasional (BN) dikejutkan dalam pilihan raya baru lalu akibat penolakan pengundi Melayu bandar terhadapnya. Sebahagiannya berpunca daripada persepsi bahawa orang Melayu bandar diketepikan, kepentingan mereka dilupakan dan kehidupan mereka tidak mendapat pembelaan. Sebahagian besar daripada mereka melihat keadaan 'antara dua darjat' yang kaya, mampu dan berada berbanding dengan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita harus ingat bahawa kuasa politik Melayu di bandar semakin penting masa kini berbanding dulu. Angka 2000 memperlihatkan 48.3 penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah Melayu. Bilangan itu bertambah lagi akhir-akhir ini menjadikan bilangan penduduk Melayu di bandar lebih besar daripada bukan Melayu. Kita boleh menyalahkan penghijrahan mereka dari kampung tradisi ke bandar sebagai punca fenomena ini. Pada 1970-an, 68.3 peratus penghijrah ke bandar adalah orang Melayu. Kota memang sentiasa menjadi tarikan. Malah generasi pendatang pertama dari desa sebenarnya melahirkan anak-anak yang berjaya dan mampu membawa mereka keluar daripada ancaman kemiskinan. Ini proses sosial yang lumrah.
Pendatang baru akan tetap ditawan oleh tarikan kota. Sejak dua dekad kebelakangan ini hadir pula pendatang dari luar (sama ada secara izin atau tidak) yang menambah bilangan mereka yang menghuni kawasan bandar. Sasaran mereka tentulah kawasan setinggan di sekitar Lembah Klang. Kita harus sedar bahawa proses perbandaran menjadi ciri penting kemajuan mana-mana negara. Semakin ramai rakyat negara ini akan tinggal di bandar. Pada 1970 hanya 13.8 peratus penduduk bandar di negara ini. Jumlah itu menjadi 50.7 peratus pada 1991. Hari ini lebih 70 peratus rakyat Malaysia tinggal di bandar. Pada 30 Julai 2003, dua tokoh muncul dalam program Isu Semasa yang saya kendalikan di RTM1, Menteri Besar Selangor dan seorang lagi Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tajuk yang dibincangkan ialah sasaran Setinggan Sifar baik di KL mahupun di Selangor. Saya mengingatkan mereka apakah sasaran itu realistik memandangkan 1 Januari 2005 hanya 17 bulan lagi. Saya menyebutkan bahawa ada 150 penempatan setinggan yang masih wujud di Kuala Lumpur ketika itu. Kawasan setinggan juga masih banyak di Selangor. Mereka begitu yakin bahawa sasaran itu boleh dicapai. KL seperti kita tahu memang tempat di mana ratusan koloni pendatang bandar yang mencari tempat tinggal. Pada 1978, 23.5 peratus warga Kuala Lumpur adalah setinggan. Dari segi peratusan, jumlah ini menurun menjadi 17.6 peratus pada 1992 dan 9.7 peratus pada 1998. Sehingga Jun 2003, ada 82,000 orang penduduk setinggan di Kuala Lumpur. Soalan saya masa itu ialah apakah 82,000 orang setinggan akan hilang begitu saja menjelang 2005? Kita tahu sasaran itu tidak dicapai. Kawasan setinggan masih wujud. Masih banyak penduduk bandar yang tinggal dalam kawasan yang menurut definisi Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969 (Ordinan 1 dan 2) Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan) 'menduduki tanah secara haram atau menyalahi undang-undang' di bandar-bandar kita.
Banyak rancangan dirancang untuk menangani masalah ini, dari penubuhan Unit Penyelarasan Pembangunan pada peringkat DBKL, menyediakan Dasar dan pelaksanaan Penempatan Setinggan di Wilayah Persekutuan hinggalah Skim Pertapakan, Kemudahan dan Peningkatan serta program Penempatan Sementara dan Penempatan Semula Setinggan. Sejak 1977 dirancangkan penempatan rumah panjang yang sepatutnya memberikan peluang sementara sebelum mereka mendapat rumah baru. Ada yang tinggal lebih 15 tahun di penempatan yang dikatakan sementara ini. Apa yang paling merunsingkan ialah budaya kemiskinan (culture of poverty) yang akan terus berleluasa di kalangan rakyat yang menghuni kawasan setinggan ini. Rantaian kesan buruknya tentulah dapat kita bayangkan. Malangnya banyak usaha untuk memenuhi keperluan rakyat dalam kategori ini selalu berdepan dengan masalah. Pertama, membina rumah kos murah tidak menguntungkan bagi pemaju perumahan. Kedua, siling yang tidak realistik untuk membina satu unit rumah kos murah. Pada suatu waktu dulu hanya RM25,000. Ketiga, banyak pihak mengkhianati usaha pembinaan rumah kos murah. Angka tidak menipu. Pada 1985, sasaran Program Khas Perumahan Kos Rendah ialah untuk membina 62,203 unit. Apa yang mampu dicapai hanya 1,090 unit. Sasaran 1986 ialah 77,029 unit, yang dicapai hanya 20,420 unit. Tambahan pula sehingga 2002, menurut perangkaan kerajaan, ada 544 projek rumah terbengkalai membabitkan 125,649 unit rumah, sebahagiannya rumah kos rendah. Setiap tahun Malaysia memerlukan 100,000 hingga 150,000 unit rumah baru untuk rakyatnya, apakah kita bersedia menampungnya? Apakah pula nisbah rumah rakyat berpendapatan rendah dalam konteks ini? Saya berpendapat bahawa ada soal tafsiran dan makna yang terbabit. Kita menggunakan konsep 'rumah kos rendah.' Ketika Kerajaan Singapura merancang program perumahan rakyat melalui Perbadanan Perumahan Singapura, sasarannya ialah 'rumah mampu beli' atau affordable homes yang berkualiti. Rumah jenis ini akan dinaiktaraf berdasarkan kemampuan rakyat. Rumah kos rendah dalam pengertian kita ialah sarang burung merpati yang kelihatan hodoh dari luar dan menyesakkan penghuninya. Unit-unit rumah kediaman ini rata-rata tidak selesa dan sistem sokongannya menyulitkan lagi kehidupan penduduk: Lif selalu rosak, kawasan sekitar kotor, tempat letak kereta terbatas, penyelenggaraan keseluruhannya masih lemah. Memang kemiskinan bandar tidak semestinya membabitkan kawasan setinggan. Tekanan hidup akibat kenaikan harga barang menjadi masalah utama penghuni bandar di manapun mereka berada. Banyak yang terpaksa bekerja lebih dari satu kerja untuk menampung kos hidup yang tinggi. Ibu bapa terpaksa bekerja meninggalkan anak-anak sendirian menjaga diri kerana tidak ramai yang mampu menggaji pengasuh. Lebih malang lagi tidak berlaku sistem sokongan seperti pusat jagaan kanak-kanak umum, tadika yang berkualiti atau sistem kawalan keselamatan penduduk yang terbaik. Itu belum lagi kegagalan mengadakan pusat riadah, perpustakaan mini atau pusat komputer yang boleh membantu kanak-kanak. Semua ini menambah tekanan pada ibu bapa. Isu kemiskinan bandar akan menjadi masalah besar sekiranya mereka dilihat hanya sebagai sumber undi apabila berlaku pilihan raya. Kemiskinan bandar melampaui kaum. Usaha menanganinya harus juga melangkaui kaum. Ketegangan kaum yang berlaku sebahagian besarnya kerana kurangnya integrasi kaum, ditambah dengan elemen lain yang meretakkan hubungan kaum. Sudah sampai masanya kita melihat secara tuntas isu ini dari kanta dan perspektif yang baru. Kemiskinan adalah kunci pada krisis yang lebih besar. Dalam keadaan hari ini, kerajaan harus bertindak bijak dan pantas. Sekiranya tidak bandar-bandar kita akan menjadi bukti perbezaan kelas, status, kedudukan dan dispariti pendapatan.
No comments:
Post a Comment