May 13, 2007
‘Remaja dari keluarga bahagia juga terjebak gejala sosial’
Filed under: Uncategorized
KOTA KINABALU: Sesebuah keluarga yang harmoni tidak semestinya menjadi satu jaminan bahawa anggota keluarga itu, terutama remaja, terhindar daripada terjerumus dalam kancah gejala sosial, kata seorang pakar Sains Sosial Prof Dr Abd Hadi Zakaria.
Pensyarah Jabatan Pentadbiran Sosial dan Kehakiman, Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya itu berkata berdasarkan kepada satu penyelidikan yang dijalankan di Johor pada tahun 1999, remaja dari keluarga harmoni juga didapati tidak dapat lari daripada terjebak dengan gejala sosial seperti sumbang muhrim, penagihan dadah, arak, pornografi dan banyak lagi.
"Bukan satu atau dua, tapi kebanyakan kes-kes sumbang muhrim yang kita kaji membabitkan keluarga yang harmoni, di mana hubungan antara anggota keluarga itu adalah baik, atau rapat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Prof Abd Hadi mendedahkan perkara ini semasa membentangkan kajian bertajuk `Penyelidikan Remaja dan Belia’, sempena Seminar dan Bengkel Penyelidikan Isuisu Sosial Semasa oleh Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Beliau berkata penyelidikan tajaan Yayasan Keluarga Negeri Johor itu dijalankan pada tahun 1999, dengan soalan-soalan kaji selidik dihantar kepada 1,300 responden menerusi pos.
Prof Abd Hadi berkata kumpulan sasaran ialah remaja berumur bawah 18 tahun, termasuk pelajar-pelajar dari pelbagai latar belakang keluarga.
Prof Abd Hadi bagaimanapun tidak menolak kenyataan bahawa penyelidikan itu juga mendapati bahawa remaja dari keluarga bermasalah turut terbabit dalam pelbagai gejala sosial seperti lumba haram, samseng serta vandalism, namun semua gejala ini dicetuskan di luar rumah.
"Tapi apa yang kami temui, bagi kami, adalah sesuatu yang baru, langsung tidak diduga. Ini bermakna kita perlu memikirkan kembali pemahaman biasa kita sebelum ini tentang keluarga harmoni, bagi melahirkan remaja yang benar-benar berakhlak," katanya.
Menurutnya pemahaman kebiasaan kini nampaknya sudah tidak boleh lagi diterima, kerana keluarga harmoni juga didapati boleh membawa kepada gejala sosial, sama sebagaimana keluarga bermasalah.
"Jadi di mana kita sekarang? Apa yang perlu kita lakukan? Saya sendiri tidak dapat berikan jawapan terus kepada persoalanan ini, kita perlu kaji, perlu lihat pendekatan baru berdasarkan lainlain prinsip yang akan membolehkan kita membanteras aktiviti tidak sihat ini," katanya.
No comments:
Post a Comment