Monday, July 20, 2009
OTAK BAYI PERLU DIRANGSANG
OTAK adalah organ pertama yang terbina ketika dalam kandungan. Apabila lahir, otak bayi mengandungi sel otak yang berbilion jumlahnya. Ia sentiasa bekerja dan belajar perkara baru. Proses sepanjang hayat ini dipengaruhi faktor luaran dan dalaman.
Walaupun kanak-kanak lahir dengan jumlah sel otak yang banyak, namun banyak juga yang ‘hilang’ selepas dilahirkan. Apabila otak mempelajari sesuatu, sel otak berhubung dan menyimpan maklumat. Dalam tempoh yang lama, sel yang kosong akan terhapus bagi membenarkan sel yang menyimpan maklumat berkembang.
Pembentukan penting dalam otak bayi yang sedang membesar bukan saja bergantung kepada faktor genetik tetapi juga pengalaman yang dilaluinya.
Oleh itu, stimulasi otak kanak-kanak perlu dibuat sebanyak mungkin. Misalnya membina kemahiran berbahasa membabitkan membaca dan bercakap dengan kanak-kanak. Stimulasi itu sebenarnya sejak dalam kandungan. Berikut disenaraikan beberapa cara merangsang otak.
1. Pemilihan makanan yang diambil ibu. Nutrisi yang ibu ambil ketika hamil memberi perbezaan besar dalam pembangunan otak. Oleh sebab itu wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat.
2. Selepas dilahirkan, anda bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi tidak boleh membalas kata-kata anda, tetapi otaknya sudah membuat hubungan penting yang mengaitkan perkataan dengan makna.
3. Jangan biarkan bayi tertekan. Misalnya tercari-cari anda yang membuatkan bayi tertekan dan menangis. Tekanan hanya akan melambatkan pembangunan otak bayi.
4. Luangkan masa untuk bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi masih belum pandai berkata-kata. Buat bayi ketawa, tersenyum dan bercakap dalam pelbagai nada. Lakukan aktiviti bersama.
5. Bacakan bayi buku dengan kuat dan dalam pelbagai nada. Mendengar ibu bapa membaca membantu pembentukan bahasanya. Membaca juga menanam minatnya pada buku.
6. Sentuhan pada bayi, memberi keselesaan padanya dan menghasilkan persekitaran positif untuk otak mempelajari perkara baru secara berterusan. Apabila anak semakin membesar, deria semakin terbentuk dan dia lebih peka dengan persekitarannya. Dia akan mula mahu bermain dengan objek atau berinteraksi dengan orang lain.
Penyelidikan mendapati tahap daya intelek kanak-kanak dipengaruhi jumlah interaksinya dengan ibu bapa.
Pemilihan buah-buahan dalam diet makanan penting dalam pertumbuhan otak anak.
Pada usia enam bulan ke atas, anak patut diberi peluang meningkatkan kemahiran koordinasinya. Apabila dia merangkak dan cuba berjalan, ia bukan saja membantu anak belajar koordinasi pergerakan kakinya malah menguatkannya. Pada peringkat ini, anda boleh memperbaiki kemahiran kognitif anak dengan memperkenalkan objek di hadapannya dan bercakap mengenainya.
Berbual mengenai pengalaman lepas juga membantu membentuk memori. Lebih banyak pendedahan, lebih banyak pengalaman dipelajari. Misalnya membawa dia ke zoo dan taman permainan atau menghabiskan masa melukis, mewarna atau membuat kraf tangan.
Bagaimanapun, stimulasi yang diberi tidak semestinya membuatkan anak anda menjadi bijak tetapi membantunya mempelajari banyak perkara baru dalam hidupnya.
Selain stimulasi yang baik, sebenarnya otak juga terjejas pada stimulasi negatif. Menyaksikan ibu bapa bertengkar, ibu dipukul atau ditengking, drama bersiri atau filem yang penuh cerita pembunuhan atau peperangan malah permainan video yang ganas dan lucah juga memberi kesan pada otak.
Dr Arlne F Harder menerusi Children Affirmation Program menjelaskan, semua yang negatif itu mencipta tekanan yang menyebabkan hormon steroid (cortisol) menekan sistem imun dan melambatkan pertumbuhan fizikal.
Penghasilan cartisol dikaitkan dengan tekanan yang menukar aktiviti otak dan strukturnya. Bahagian yang paling terjejas adalah struktur otak hippocampus dan prefrontal cortex yang berfungsi pada keupayaan mengingati dan belajar selain keupayaan kanak-kanak untuk menterjemah secara tepat dan bertindak balas pada situasi sosialnya.
Justeru, jika anda inginkan otak yang sihat untuk anak, minimumkan pendedahan unsur negatif pada anak. Bertengkar dan saling menengking di hadapan anak-anak akan mencipta pemahaman negatif kepada mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment