Kesedaran baiki taraf hidup
Filed under: Uncategorized, myMetro
Susunan Ruhaiza Rusmin ruhaiza@hmetro.com.my
KEPESATAN pembangunan dunia bukan saja memberi tekanan dalam pembangunan ekonomi tapi juga agenda pendidikan terutama di negara miskin.
Meskipun pendidikan bukan agenda utama kebanyakan masyarakat negara berkenaan berbanding ekonomi, peningkatan terhadap kepentingan memperoleh tahap pendidikan terbaik sudah semakin menular.
Contohnya, Indonesia yang kini bangkit menerajui industri pendidikan pengajian tinggi meskipun ekonominya masih di tahap genting bagi sebahagian besar warganya.
Negara dunia ketiga seperti Afrika juga semakin bangkit meskipun masih bergolak dengan kegoyahan ekonomi atau peperangan.
Kemudahan prasarananya walaupun kurang lengkap, tidak menghalang masyarakat negara itu mengutip ilmu sekali gus memberi ‘amaran’ kepada negara luar bahawa masyarakatnya sudah tidak boleh diperkotak-katik atau dipandang rendah.
Pegawai Penasihat Kanan dalam kumpulan Oxfam, Oliver Buston, berkata kebangkitan masyarakat mengejar sistem pendidikan lebih baik disebabkan peranan golongan badan sukarelawan antarabangsa memberi pendedahan dan maklumat pentingnya ilmu.
Beliau berkata, pada awal 1980 dan 1990-an, kesedaran mempertingkatkan kehidupan menerusi pendidikan terlalu kurang berbanding ekonomi, namun coraknya semakin berubah menjelang abad ke-21.
Masyarakat dunia ketiga ini semakin memberi fokus kepada kepentingan pendidikan lantaran memperoleh pelbagai sokongan pihak luar untuk membuka minda mereka menerima kepentingan pendidikan.
Ini juga membuktikan elemen kemanusiaan dan kesedaran yang disuntik mampu merubah pendirian masyarakat yang kebanyakan terikat kepada adat dan budaya.
"Perubahan corak ini memberi satu semangat baru kepada kumpulan sukarelawan antarabangsa untuk mengubah persepsi masyarakat ini terhadap fungsi serta kepentingan pendidikan.
"Pencapaian ini meskipun masih rendah tetapi memberi harapan baru untuk generasi seterusnya. Mereka perlu tahu, hanya dengan pendidikan mampu mengubah kemiskinan dan tahap ekonomi," katanya.
Negara dunia ketiga juga semakin terbuka menerima dan membuat pembaharuan. Afrika misalnya sudah banyak membuka pintu kepada negara luar untuk melabur dalam sektor pendidikan.
Manakala pelajar yang cemerlang juga dihantar menyambung pengajian ke luar negara dan diharap mampu menjadi pentadbir dengan membawa pembaharuan untuk dikongsi bersama rakyat dan pembangunan negara.
"Saya bertuah kerana berpeluang menyambung pengajian di luar negara. Apabila tamat pengajian, saya akan pulang ke tanah air dan berbakti bagi pembangunan negara.
"Belajar di sini memberi manfaat besar. Saya dapat lihat bagaimana masyarakat antarabangsa membuat penilaian terhadap masyarakat di negara sendiri," kata Olaga yang kini menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, masih terdapat sedikit perbalahan antara golongan lama dan baru dalam pembangunan pendidikan.
Masyarakat ortodoks Mexico, misalnya berpendapat pendidikan merubah gaya dan cara hidup golongan muda berbanding tanggungjawab kepada keluarga.
Buston berkata, mereka berpendapat golongan muda lupa diri dan enggan menunaikan tanggungjawab kepada keluarga yang daif apabila berkedudukan baik.
"Mereka berpendapat, ilmu juga boleh diperoleh di rumah dan berbakti kepada alam.
"Sekolah hanya merubah pendirian, adat dan sosial golongan muda.
"Mungkin kerana tidak memperoleh informasi tepat menyebabkan mereka menolak arus pembangunan menerusi pendidikan," katanya.
Dalam satu kaji selidik badan bebas, Global Campaign for Education, Belanda menduduki tempat teratas negara progresif dan aktif meningkatkan martabat pendidikan di negara miskin manakala Amerika Syarikat di kedudukan ketiga terakhir daripada 22 negara kaya di dunia.
Kajian itu melihat bagaimana negara berkenaan menunaikan janji bagi membantu negara miskin.
Perjanjian berkenaan berlangsung di Dakar, Senegal pada 2000 di bawah program Pendidikan Untuk Semua (Education For All).
"Lebih 100 juta kanak- kanak seluruh dunia tidak pernah ke sekolah manakala 150 juta tidak menghabiskan asas pendidikan disebabkan kemiskinan.
"Negara kaya memperuntukkan kira-kira RM8 bilion untuk membantu membangunkan sistem pendidikan di negara miskin.
"Sokongan ini sedikit-sebanyak membantu golongan miskin memperoleh pendidikan sempurna.
"Ini membantu mengubah persepsi dan pandangan dangkal mengenai keperluan pendidikan bagi memperbaiki taraf kehidupan keluarga dan generasi akan datang," kata kajian itu.
(Artikel dipetik daripada myMetro, kolum Bestari - bertarikh 24 Mac 2008)